Minggu, 08 Mei 2016

Wanita biasa

Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua dua tanganmu.

Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi dan abahku. Tiada harta untukku persembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan.

Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata kata; Dan di antara tanda tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.” -Ar Rum: 21.

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah insan biasa di dunia ini. Dibawah jagaan baik umi dan abahku sejak kecil dengan sempurna. Namun apa yang pasti. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama sepertimu.

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata mata.

Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama samaku.
"Jika ada wanita yang belum bernikah kerana mahu menuntut ilmu, maka sebenarnya tempat terbaik untuk belajar adalah Suami."
- Dr Raehan Al-Bahraen.

Izinkan aku menjadi yang terbaik bagimu. Jika aku masih belum baik, jangan pergi. Perbaiki aku.

270316
Afaf Amran

Tidak ada komentar:

Posting Komentar